Syeikh
Hamzah al-Fansuri telah banyak dibicarakan orang, namun tidak dapat
dinafikan perkara-perkara baru sentiasa ditemui oleh para peneliti. Pada
mukadimah ini saya nyatakan bahawa tanpa diketahui siapakah yang
pertama mengkhayal rupa tokoh agung sufi Nusantara itu, sehingga
ditemui gambar imaginasi beliau.
Gambar
Syeikh Hamzah al-Fansuri dapat dipastikan sebagai gambar imaginasi,
kerana pada zaman beliau memang belum ada kamera. Sebenarnya ia berlaku
bukan pada Syeikh Hamzah al-Fansuri saja, tetapi juga terjadi pada
ulama-ulama lainnya, termasuk Imam al-Ghazali, Syeikh 'Abdul Qadir
al-Jilani, Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Wali Sembilan dan lain-lain.
Hampir
semua pengkaji yang membicarakan tokoh ulama ini pada zaman moden,
selalu merujuk kepada karya-karya Prof. Dr. Syed M. Naquib al-Attas.
Barangkali dunia memang mengakui bahawa beliaulah orang yang paling
banyak memperkenalkan Syeikh Hamzah al-Fansuri ke peringkat
antarabangsa. Walau bagaimanapun apabila kita membaca keseluruhan karya
Prof. Dr. Syed M. Naquib al-Attas yang membicarakan Syeikh Hamzah
al-Fansuri, bukanlah bererti kita tidak perlu mentelaah karya-karya
lain lagi, kerana apabila kita mentelaah karya-karya selainnya,
terutama sekali yang masih berupa manuskrip, tentu sedikit sebanyak
kita akan menemukan perkara-perkara baru yang belum dibicarakan.
Karya
terkini tentang Syeikh Hamzah al-Fansuri ialah buku yang diberi judul
Tasawuf Yang Tertindas Kajian Hermeneutik Terhadap Karya-Karya Hamzah
Fansuri. Buku setebal 444 halaman itu dikarang oleh Dr. Abdul Hadi W.M.
dan terbitan pertama oleh Penerbit Paramadina, Jakarta, 2001. Sama ada
karya-karya Prof. Dr. Syed M. Naquib al-Attas mahupun karya Dr. Abdul
Hadi W.M., sedikit pun tiada menyentuh gambar Syeikh Hamzah al-Fansuri
seperti yang tersebut di atas.
Asal-usul dan pendidikan
Prof.
A. Hasymi pada penyelidikannya yang lebih awal bertentangan dengan
hasil penyelidikannya yang terakhir. Penyelidikan awal, ayah Syeikh
Hamzah al-Fansuri nampaknya tidak ada hubungan adik beradik dengan ayah
Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri. Penyelidikan terakhir beliau mengatakan
bahawa Syeikh Hamzah al-Fansuri itu adalah adik beradik dengan Syeikh
Ali al-Fansuri.
Syeikh Ali
al-Fansuri adalah ayah kepada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri.
Penyelidikan awal yang saya maksudkan ialah yang ditulis oleh Prof. A.
Hasymi dalam Ruba'i Hamzah Fansuri yang dapat diambil pengertian
daripada kalimatnya, "Ayah Hamzah pindah dari Fansur (Singkel) ke Barus
untuk mengajar, kerana beliau juga seorang ulama besar, seperti halnya
ayah Syeikh Abdur Rauf Fansuri yang juga ulama, sama-sama berasal dari
Fansur (Singkel)" (terbitan DBP, 1976, hlm. 11).
Mengenai
penyelidikan Prof. A. Hasymi yang menyebut Syeikh Hamzah al-Fansuri
saudara Syeikh Ali al-Fansuri atau Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri
adalah anak saudara kepada Syeikh Hamzah al-Fansuri, dapat dirujuk
kepada kata pengantar buku Hamzah Fansuri Penyair Sufi Aceh karya Abdul
Hadi W.M. Dan L. K. Ara, diterbitkan oleh Penerbit Lotkala, tanpa
menyebut tempat dan tarikh.
Walaupun
Prof. A. Hasymi belum memberikan suatu pernyataan tegas bahawa beliau
memansukhkan tulisannya yang disebut dalam Ruba'i Hamzah Fansuri, namun
kita terpaksa memakai penyelidikan terakhir seperti yang telah
dijelaskan di atas. Dr. Azyumardi Azra dalam bukunya, Jaringan Ulama
mengatakan bahawa beliau tidak yakin bahawa Syeikh Abdur Rauf bin Ali
al-Fansuri itu benar-benar keponakan (anak saudara) Syeikh Hamzah
al-Fansuri. "Sebab, menurutnya, tidak ada sumber lain yang mendukung
hal itu." Bagi saya ia masih boleh dibicarakan dan perlu penelitian
yang lebih sempurna dan berkesinambungan. Sebab yang dinamakan sumber
pendukung sesuatu pendapat, bukan hanya berdasarkan tulisan tetapi
termasuklah cerita yang mutawatir.
Kemungkinan
Prof. A. Hasymi yang berasal dari Aceh itu lebih banyak mendapatkan
cerita yang mutawatir berbanding penelitian barat yang banyak disebut
oleh Azra. Diterima atau tidak oleh pengkaji selain beliau,
terpulanglah ijtihad masing-masing orang yang berkenaan.
Dalam
buku Hamzah Fansuri Penyair Aceh, Prof. A. Hasymi menyebut bahawa
Syeikh Hamzah Fansuri hidup sampai akhir pemerintahan Sultan Iskandar
Muda ternyata juga ada perubahan daripada tulisan beliau yang termaktub
dalam Ruba'i Hamzah Fansuri selengkapnya, "Hanya yang sudah pasti,
bahawa beliau hidup dalam masa pemerintahan Sultan Alaidin Riayat Syah
IV Saiyidil Mukammil (997-1011 H-1589-1604 M) sampai ke permulaan
pemerintahan Sultan Iskandar Muda Darma Wangsa Mahkota Alam (1016-1045
H-1607-1636 M)." Yang dimaksudkan dengan "ternyata juga ada perubahan",
ialah pada kalimat, "sampai ke permulaan pemerintahan Sultan Iskandar
Muda," menjadi kalimat "akhir pemerintahan Sultan Iskandar Muda."
Tarikh
lahir Syeikh Hamzah al-Fansuri secara tepat belum dapat dipastikan,
adapun tempat kelahirannya ada yang menyebut Barus atau Fansur. Disebut
lebih terperinci oleh Prof. A. Hasymi bahawa Fansur itu satu kampung
yang terletak antara Kota Singkel dengan Gosong Telaga (Aceh Selatan).
Dalam zaman Kerajaan Aceh Darussalam, kampung Fansur itu terkenal
sebagai pusat pendidikan Islam di bahagian Aceh Selatan. Pendapat lain
menyebut bahawa beliau dilahirkan di Syahrun Nawi atau Ayuthia di Siam
dan berhijrah serta menetap di Barus.
Drs.
Abdur Rahman al-Ahmadi dalam kertas kerjanya menyebut bahawa ayah
Syeikh Hamzah al-Fansuri bernama Syeikh Ismail Aceh bersama Wan Ismail
dan Po Rome atau Po Ibrahim (1637- 1687 M) meninggal dunia dalam
pertempuran melawan orang Yuwun (Annam) di Phanrang. Bahawa Syeikh
Ismail Aceh itu pernah menjadi gabenor di Kota Sri Banoi menggantikan
Gabenor Wan Ismail asal Patani yang melepaskan jabatan itu kerana
usianya yang lanjut.
Drs. Abdur
Rahman Al-Ahmadi berpendapat baru, dengan menambah Syahrun Nawi itu di
Sri Banoi Sri Vini, selain yang telah disebutkan oleh ramai penulis
bahawa Syahrun Nawi adalah di Siam atau Aceh. Dalam Patani, iaitu
antara perjalanan dari Patani ke Senggora memang terdapat satu kampung
yang dinamakan Nawi, berkemungkinan dari kampung itulah yang
dimaksudkan seperti yang termaktub dalam syair Syeikh Hamzah al-Fansuri
yang menyebut nama Syahrun Nawi itu. Kampung Nawi di Patani itu
barangkali nama asalnya memang Syahrun Nawi, lalu telah diubah oleh
Siam hingga bernama Nawi saja.
Syahrun
Nawi adalah di Patani masih boleh diambil kira, kerana pada zaman dulu
Patani dan sekitarnya adalah suatu kawasan yang memang ramai ulamanya.
Saya telah sampai ke kampung tersebut (1992), berkali-kali kerana
mencari manuskrip lama. Beberapa buah manuskrip memang saya peroleh di
kampung itu. Lagi pula antara Aceh dan Patani sejak lama memang ada
hubungan yang erat sekali.
Walau
bagaimanapun Prof. A. Hasymi menyebut bahawa Syahrun Nawi itu adalah
nama dari Aceh sebagai peringatan bagi seorang Pangeran dari Siam yang
datang ke Aceh pada masa silam yang bernama Syahir Nuwi, yang membangun
Aceh pada zaman sebelum Islam.
Daripada
berbagai-bagai sumber disebutkan bahawa Syeikh Hamzah al-Fansuri telah
belajar berbagai-bagai ilmu yang memakan masa lama. Selain belajar di
Aceh sendiri beliau telah mengembara ke pelbagai tempat, di antaranya
ke Banten (Jawa Barat), bahkan sumber yang lain menyebut bahawa beliau
pernah mengembara keseluruh tanah Jawa, Semenanjung Tanah Melayu,
India, Parsi dan Arab.
Dikatakan
bahawa Syeikh Hamzah al-Fansuri sangat mahir dalam ilmu-ilmu fikah,
tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam, sejarah, sastera dan lain-lain.
Dalam bidang bahasa pula beliau menguasai dengan kemas seluruh sektor
ilmu Arabiyah, fasih dalam ucapan bahasa itu, berkebolehan berbahasa
Urdu, Parsi, Melayu dan Jawa.
Karya-karyanya
Syeikh
Hamzah al-Fansuri dapat digolongkan kepada peringkat awal dalam
menghasilkan karya puisi/sastera dalam bahasa Melayu, sangat menonjol
terutama sekali dalam sektor sufi. Lebih terserlah lagi kemasyhurannya
kerana terjadi kontroversi yang dilemparkan oleh orang-orang yang tidak
sependapat dengannya yang dimulai dengan karya-karya Syeikh Nuruddin
ar-Raniri, berlanjutan terus hingga sampai ke hari ini karya-karya
Syeikh Hamzah al-Fansuri selalu dibicarakan dalam forum-forum ilmiah.
Di bawah ini saya cuba menyenaraikan karya beliau yang telah diketahui, iaitu:
1). Syarb al- 'Asyiqin atau Zinatul Muwahhidin.
2). Asrar al-'Arifin fi Bayan 'Ilm as-Suluk wa at-Tauhid.
3). Al-Muntahi.
4). Ruba'i Hamzah Fansuri.
5). Kasyf Sirri Tajalli ash-Shibyan.
6). Kitab fi Bayani Ma'rifah.
7). Syair Si Burung Pingai.
8). Syair Si Burung Pungguk.
9). Syair Sidang Faqir.
10). Syair Dagang.
11). Syair Perahu.
12). Syair Ikan Tongkol.
Keterangan
lengkap mengenai data karya Syeikh Hamzah al-Fansuri dapat dirujuk
dalam buku yang saya susun berjudul Al-Ma'rifah Pelbagai Aspek Tasawuf
Nusantara, jilid 1. Senarai yang tersebut di atas merupakan maklumat
yang terlengkap buat sementara dan akan ditambah lagi jika terdapat
maklumat baru yang belum termuat dalam senarai di atas.
Mengakhiri
artikel ini di sini perlu dijelaskan bahawa makam Syeikh Hamzah
al-Fansuri telah ditemui sebagaimana ditulis oleh Dada Meuraxa: "Di satu
kampung yang bernama Obor terletak di hulu Sungai Singkil, terdapat
makam ulama dan pujangga Hamzah Fansuri. Makam itu bertulis: Inilah
makam Hamzah Fansuri mursit Syeikh Abdurrauf = Hamzah Fansuri guru
Syeikh Abdur Rauf."
Mengenai
tahun wafat Syeikh Hamzah al-Fansuri secara tepat selama ini tidak
pernah disebut. Tetapi Azra dalam Jaringan Ulama menyebut bahawa ulama
sufi itu wafat pada tahun 1016 H/1607 M. Disebutkan tahunnya itu
disekalikannya membantah bahawa Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri
(Al-Sinkili, menurut istilahnya) "tidak mungkin bertemu dengan ulama
sufi itu", menurutnya "Al-Sinkili bahkan belum lahir".
Seolah-olah
Azra menolak mentah-mentah tahun kelahiran Syeikh Abdur Rauf
al-Fansuri yang disebut oleh A. Hasymi tahun 1001 H/1592 M itu,
kemungkinan dia berpegang pada tahun kelahiran 1024 H/1615 M, atau
pendapat lain 1620 M, sedangkan tahun kewafatan Syeikh Hamzah
al-Fansuri yang disebutnya 1016 H/1607 M itu belum juga tentu betul.
Wallahu a'lam. |Sumber|
0 komentar:
Post a Comment